Blogs

Dedak Ayam Kampung Warisan : Harian Metro

Hai Rozzaman Jalal
rencana@hmetro.com.my
Harian Metro, Selasa, 20 Jun 2017

harian metro dedak warisan

Keperluan menyediakan makanan ternakan yang tiada antibiotik dan tanpa bahan terlarang khususnya untuk ayam kampung diternak bagi memastikan tidak memberi kesan mudarat kepada manusia.

Penternakan ayam kampung dititikberatkan dari segi pemakanan apabila kira-kira 70 peratus daripada kos menternak adalah makanan haiwan berkenaan untuk peringkat tumbesaran. Oleh itu, syarikat Marzuq Bayu Sdn Bhd menggalas tanggungjawab mengeluarkan Dedak Warisan tanpa antibiotik yang boleh memberi kesan tidak baik kepada manusia jika berlebihan dan tiada kawalan sebaliknya menggunakan inovasi terkini iaitu probiotik.

Pengarah Urusannya, Ahmad Najib Habeb berkata, ia memerlukan proses yang panjang untuk mengkaji formulasi dedak yang dikeluarkan terutama dari segi kandungan, kesesuaian dan keberkesanan kepada ternakan khususnya ayam kampung. “Probiotik berkualiti sangat bagus bukan saja untuk tumbesaran ayam tetapi juga kualiti telur dan anak ayam. Ayam yang diberi makan dedak probiotik akan lebih sihat dan cepat membesar.

“Proses mengadun bahan dedak khas untuk ayam kampung itu dilakukan syarikatnya sebelum dihantar ke kilang untuk proses menjadikannya dalam bentuk pallet. “Saya mencipta sendiri formulasi dedak ayam kampung itu selepas mengikuti banyak kursus termasuk di Bogor, Indonesia selain melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkenaan keperluan pemakanan ternakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Dedak Warisan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Hamim Samuri sempena Mini Agro Johor Daerah Tangkak 2017 di Dataran Ledang, Tangkak, Johor, baru-baru ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi Johor Ismail Mohamed dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom Abd Razak Minhat. Hadir sama, Pegawai Daerah Tangkak Abdul ‘Alim Abd Shukor, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor Dr Aida Muhid dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor Ahmad Kamil Mohd Yunos.

Ahmad Najib berkata, walaupun baru memulakan penghasilan dedak ayam kampung pada 2015, pada usia setahun jagung ini banyak kursus yang diikuti sama ada di dalam atau luar negara bagi menimba pengalaman. “Saya menemui pakar di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan JPV untuk belajar serta mengkaji mengenai ternakan ayam kampung. “Ia termasuk keperluan pemakanan bagi menambah pengetahuan dan pengalaman,” kata bekas jurutera yang berpengalaman sebagai penyelidik selama tujuh tahun di Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurutnya, penggunaan dedak khas dapat membantu tumbesaran ternakan selain tidak berlemak dan jika ia diberi dedak untuk ayam daging kandungan lemak dalam ayam kampung itu akan berlebihan serta mengandungi antibiotik. “Dedak keluaran syarikatsaya menggunakan pati ikan sebagai sumber protein dan bebas daripada menggunakan bahan terlarang selain penggunaan probiotik bacillius.

“Kami menjalin kerjasama dengan MARDI dalam penghasilan pemakanan khusus ayam kampung untuk mengeluarkan dedak ternakan berkualiti dan mempunyai sijil perakuan ujian dedak yang dikeluarkan agensi berkenaan.

Dedak Warisan keluaran syarikat kami dijual pada RM79 untuk satu beg berkapasiti 50 kilogram (kg) yang sesuai untuk tumbesaran anak ayam kampung berusia antara 30 hingga 56 hari,” kata beliau yang juga Presiden Persatuan Usahawan Ayam Kampung Malaysia (PUSAKA) itu berkata, syarikatnya turut menternak 15,000 ekor ayam kampung di Kajang, Selangor dan 2,000 ekor di Kundang Ulu dekat Tangkak. Katanya, beliau memberikan Dedak Warisan kepada ternakan ayam kampungnya sebagai pemakanan khas bagi melihat keberkesanannya dari segi tumbesaran dan kesihatan.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web di www.marzuqbayu.com atau Facebook Marzuq Bayu Sdn Bhd.

Cerita Penuh : https://www.hmetro.com.my/agro/2017/06/239195/dedak-probiotik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *